minda rakyat
Menjana kemenangan BA dalam tahun 2004

MGG0501

Perpaduan Melayu
(Malay Unity)

Oleh: Charles Hector

Pada 1957,  Malaysia menerima kemerdekaannya daripada British. Kuasa politik telah bertukar tangan kepada satu koalisi parti politik yang  bergabung berasaskan  parti perkauman . Inilah gagasannya  yang terus  menunjangi  pemerintahan negara hingga ke hari ini dan lebih dikenali dengan  panggilan Barisan  Nasional. 

Apabila parti politik diwujudkan berasaskan perkauman, keupayaannya untuk terus bernafas  hanya dapat dikekalkan dengan selalu memberi penekanan  kepada perpaduan kaum - dan tidak kepada perpaduan multi-kaum dan nasionalisme.  Parti perkauman di Malaysia masih lagi mengajak ahlinya  berdiri teguh di belakang konsep perkauman itu  dan terus berjuang mempertahankan  hak-hak masyarakat  perkauman tertentu. Mereka tidak mampu melenyapkan diskriminasi kaum. Mereka terpaksa menghidupkan semangat diskriminasi itu dengan apa cara jua, kerana sebaik sahaja rakyat Malaysia berpaling ke arah konsep Malaysian secara menyeluruhnya  dan tidak lagi sebagai 'Melayu', 'Cina', India', 'Kadazan' dan sebagainya - politik yang berasaskan kaum itu akan menemui jalan buntunya.

Negara kita adalah satu negara yang mengandungi kaum yang pelbagai - rakyatnya berasal daripada pelbagai  kumpulan etnik  yang berbagai-bagai, seperti yang jelas dirakamkan sejarah dengan  terdapatnya banyak kahwin campuran yang semakin galak berlaku di kalangan  kumpulan etnik yang berbeza-beza itu. Inilah hakikatnya dan inilah sesuatu yang dianggap oleh semua parti politik yang berasaskan kaum itu enggan akui dan menerimanya.

Beberapa usaha telah direncana untuk menonjolkan  dakyah kepalsuan betapa  semua parti berbentuk perkauman itu sebenarnya  parti yang berbentuk nasionalitik.  Contohnya ialah kemunculan semangat nasionalisme Melayu - sedangkan  frasa yang dicetuskan itu sebenarnya satu kontradiksi sahaja. Bagaimana mungkin adanya Nasionalisme Melayu, Nasionalisme Cina ataupun Nasionalisme India,  sedangkan yang sebetulnya hanya boleh ada Nasionalisme Malaysian.

Rakyat Malaysian sedang menolak apa juga bentuk politik yang berasaskan  perkauman dan keagamaan dan ini amat terserlah apabila di lihat di dalam negara yang mempunyai  22 juta penduduknya, hanya sekitar 10% penduduk itu yang menganggotai parti  perkauman. Ramai yang  tidak menjadi ahli parti dan apa juga parti lain kerana tidak ada alternatif ketika itu.

Memang ada parti politik seperti Gerakan, DAP, Keadilan dan Parti Rakyat Malaysia yang pada kewujudannya berbentuk  sebagai parti  yang tidak bersifat perkauman.  Malangnya, pemimpin parti itu dan juga media  (kepunyaan parti pemerintah) telah mengambil jalan mudah untuk mengaitkan perjuangan parti  ke arah perkauman juga. Pihak media telah  menonjolkan DAP dan Gerakan  sebagai parti orang Cina, dan Keadilan dan Parti Rakyat Malaysia sebagai parti orang Melayu.  Para pemimin dan pengikut parti tersebut telah terjerat  dengan perangkap yang dipasang dengan melantik orang-orang daripada satu kaum tertentu sebagai pemimpin mereka.  Pemimin sepatutnya tidak dipilih berasaskan asal usul mereka tetapi berasaskan  merit, keupayaan dan sokongan  popular.

Oleh kerana  media massa dikuasai oleh parti yang memerintah, usaha untuk  mengekalkan parti yang berasaskan perkauman itu memang sengaja diteruskan. Parti pembangkang yang tidak mengamalkan konsep perkauman itu harus bersedia  bertindak melantik bukan Melayu dalam Keadilan dan Parti Rakyat Malaysia, dan orang Melayu dalam DAP. Kini, kita   mempunyai Barisan Alternatif yang dapat berganding bahu. Ramai rakyat Malaysia yang mula bertanya apakah ini satu barisan parti politik yang berasaskan kaum seperti Barisan Nasional yang sudah lama itu.

Rakyat Malaysia yang percaya bahawa setiap rakyat mempunyai hak yang sama mestilah  menolak setiap usaha menyatukan sesuatu kaum itu yang dianjurkan oleh sesuatu parti.  Perkauman dan keagamaan memang kerap digunakan  sebagai  tajuk untuk mengalihkan perhatian daripada isu yang sebenar - inilah ketidaksamaan  dalam pengagihan kekayaan, jurang  mendalam di antara  golongan kaya dengan yang miskin, perlaksanaan undang-undang dan hak asasi manusia.

Bersatulah menolak dan berkata "TIDAK" kepada penyatuan Melayu, penyatuan 'Cina', penyatuan 'India', penyatuan Islam' penyatuan 'Kristian', penyatuan 'Kadazan dan  apa juga usaha  bentuk penyatuan yang sempit  di kalangan kaum, etnik ataupun kumpulan keagamaan di negara ini.  Kalau kita tidak mampu melakukan perkara ini, kita akan terus dipesongkan daripada kegiatan  kumpulan minoriti yang sungguh berkuasa dalam usaha mereka melanyak negara dan membalun harta untuk diri mereka semata-mata. Mereka melakukan semua itu secara gelojohnya tanpa memikirkan  nasib masa  depan rakyat marhaen negara ini secara keseluruhannya.

-Charles Hector-

Terjemahan MT

 

HEBATKAN PERJUANGAN REFORMASI DI SIBER DAN IT

Sampaikan informasi dan maklumat kepada mindarakyat@hotmail.com
OX Free Counter
OX Free Counter